KUALA LUMPUR 8 Okt.
– Privasia Sdn. Bhd. (Privasia), firma pengurusan
perbelanjaan tunggal di negara ini, setakat ini berjaya
mengendalikan urus niaga perniagaan bernilai RM1.2 bilion.
Privasia yang beroperasi sejak tahun 2000 itu berharap
dapat menarik lebih banyak syarikat milik kerajaan dan
pihak berkuasa tempatan menjadi pelanggannya, kata Pengerusinya,
Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, syarikat itu baru sahaja selesai menjalankan
perkhidmatan pengurusan perbelanjaan ke atas majlis
perbandaran, London Hillingdon Council melibatkan penjimatan
sehingga 20 peratus daripada pembelian beg sampah.
Buat masa ini, Privasia memiliki 30 pelanggan yang terdiri
daripada gergasi korporat tempatan termasuk GLC.
Saifuddin dalam temubual dengan Utusan Malaysia di sini
berkata, antara syarikat-syarikat itu termasuk Telekom
Malaysia Bhd. (TM), Malaysia Airports Bhd. (MAB), AirAsia
dan British American Tobacco (Malaysia) Bhd. (BAT).
Beliau mendakwa kejayaan syarikat itu menarik banyak
syarikat besar kerana sistem pengurusan perbelanjaan
yang digunakan pakai oleh Privasia yang terbukti mampu
mengurangkan perbelanjaan perniagaan.
Katanya, program procure here yang menawarkan proses
bidaan elektronik (e-bidaan) dan perolehan elektronik
(e-perolehan) telah berjaya mengurangkan perbelanjaan
tahunan pelanggannya antara 15 hingga 30 peratus.
“Selain mengurangkan kos pengendalian dan perniagaan,
procure here juga mampu mengurangkan masa bekerja untuk
urusan pemerolehan barangan dari tiga hari kepada setengah
hari sahaja,” katanya.
Saifuddin menambah, pihaknya melabur RM5 juta bagi membangunkan
program yang membolehkan proses bidaan dilakukan secara
serentak di Internet untuk memendekkan tempoh bidaan
dan mengelakkan berlakunya unsur-unsur negatif seperti
rasuah.
Setakat ini, pihaknya mendapat sambutan memberangsangkan
daripada sektor awam dan swasta di negara ini.
Ditanya mengenai kadar bayaran perkhidmatan yang dikenakan,
beliau berkata, syarikat itu hanya mengenakan caj antara
10 hingga 20 peratus daripada jumlah penjimatan yang
berjaya dijana syarikat pembeli menerusi urus niaga
yang menggunakan sistem itu.
“Banyak pihaknya kini menyatakan minat yang mendalam
untuk menggunakan procure here dalam urusan pembelian
mereka kerana mereka tidak perlu melabur untuk membangunkan
sistem itu sendiri dan mampu berjimat tanpa melibatkan
kos operasi tambahan,” katanya. |