SEBAGAI satu usaha
ke arah mencapai ketelusan dan meningkatkan keberkesanan
serta kepantasan proses pemerolehan, Westport Malaysia
melaksanakan sepenuhnya semua kegiatan perolehan secara
elektronik.
Penggunaan e-Pemerolehan dan e-Pembidaan terbukti berkesan
meningkatkan kecekapan operasi.
Selain ketelusan, ia menawarkan penjimatan terhadap
pemprosesan kerja dan kos, sekali gus menjurus ke arah
tadbir urus korporat lebih baik.
"Kebanyakan syarikat multinasional di dunia menggunakan
teknologi e-Pemerolehan dan e-Pembidaan.
“Sepanjang pengetahuan kami, Westport adalah satu-satunya
syarikat tempatan mengguna pakai teknologi e-Pemerolehan
dan e-Pembidaan,” kata jururunding pemerolehan
di Privasia Sdn Bhd, penyedia penyelesaian teknolgi
maklumat (IT).
Sejak tiga tahun lalu, inisiatif e-Pemerolehan dan e-Pembidaan
memberi penjimatan melebihi RM75 juta kepada Westport.
Bida sehingga AS$50 juta dilaksanakan membabitkan penjimatan
antara sembilan hingga 60 peratus.
Masa bagi proses pemerolehan dan pembayaran ke akaun
dapat dikurangkan sekitar 76 peratus, manakala kitaran
masa daripada pengguna membuat tuntutan, mendapatkan
kelulusan bajet dan pesanan belian menjadi jelas kepada
pembekal.
Terkini, e-Pemerolehan berjaya mewujudkan persekitaran
yang telus secara menyeluruh membabitkan semua urusan
pemerolehan barangan dan perkhidmatan harian di Westport.
Dengan semua keputusan utama dilaksanakan menerusi teknologi
e-Pembidaan, setiap ringgit yang dibelanjakan adalah
telus.
Setiap bida boleh dipantau Pengurus Kanan dari mana-mana
saja menerusi akses internet. Kemasukan bida pula dikawal
menerusi penggunaan kata laluan untuk pembeli dan pembekal,
dan maklumat lengkap bida disimpan termasuk penyerahan
bida, oleh siapa dan bila ia dilakukan memudahkan rujukan.
Semua ini menyumbang kepada ketelusan dan keadilan selain
amalan korporat yang beretika.
Menerusi penggunaan e-Pembidaan sebagai operasi standard,
kos dapat dikurangkan, pengeluaran menjadi lebih cekap
dan pemerolehan dapat dilakukan pada harga kompetitif.
Ini menjadikan Westport lebih kompetitif berbanding
pelabuhan lain yang tidak mengguna pakai sistem sama.
Dalam organisasi yang kompleks dan pelbagai seperti
Westport usaha menyatukan setiap kontrak secara meluas
membolehkan pelabuhan itu mendapat harga terbaik atau
diskaun tertinggi walaupun mempunyai ramai pembekal.
Ini hanya boleh dicapai menerusi menyumberkan kontrak
berkenaan secara berpusat menerusi e-Pembidaan, dan
membuka akses kepada semua pengguna menerusi katalog
elektronik.
Selain itu, penggunaan sistem itu menghapuskan semua
elemen birokrasi yang menjejaskan kecekapan selain memastikan
kepuasan pengguna dan pembekal.
Westport berjaya mewujudkan sistem e-Pemerolehan dan
katalog yang lengkap di internet selain kaedah penyerahan
borang perniagaan seperti tempahan penghantaran (DO)
dan invois menerusi Web EDI.
Pelabuhan berkenaan juga melabur banyak masa dalam mendidik
dan melatih pembekal menggunakan sistem itu.
Setakat ini, maklum balas yang diterima daripada pembekal
amat baik sekali.
Dengan e-Pemerolehan dan e-Pembidaan, Westport Malaysia
menjamin peluang sama rata kepada semua pihak, memastikan
persaingan sihat dan adil, serta mengekalkan standard
etika tertinggi dalam semua transaksi.
Westport Malaysia hari ini boleh mengiktiraf dirinya
sebagai peneraju dalam industri pelabuhan dari aspek
pemprosesan pemerolehan, manusia dan teknologi. |